Connect with us

Hi, what are you looking for?

Malaysia

Kesedaran Autonomi Tubuh Tidak Boleh Dipandang Ringan

Autonomi tubuh merujuk kepada kemampuan seseorang untuk membuat pilihan atas tubuhnya sendiri tanpa menghadapi paksaan atau kekerasan dari pihak lain.

Photo by Olia Danilevich from Pexels.

Sejujurnya, ketika mencari bahan kajian sama ada akademik mahupun sosial untuk menyiapkan artikel ini, penulis agak terkejut melihat perkembangan kesedaran mengenai autonomi tubuh badan di Malaysia.

Mungkin topik tersebut masih dilihat sebagai satu tabu, maka tidak banyak perbahasan serius tentang perkara ini di jurnal-jurnal mahupun media sosial atau konvensional.

Malah, usaha untuk mendapatkan pandangan profesional tidak kesampaian apabila pertubuhan berkaitan kesihatan reproduktif tidak melayani e-mel yang dikirim.

Jika mahu dibandingkan, negara jiran Indonesia dilihat lebih jauh ke hadapan dalam membahaskan isu-isu berkaitan autonomi tubuh badan dan kesedaran terhadap isu-isu ini di dalam kalangan anggota masyarakat di sana.

Mungkin juga istilah autonomi tubuh badan itu sendiri agak mengelirukan bagi khalayak umum dan tidak ramai yang tahu maknanya secara khusus.

Secara asasnya, autonomi tubuh merujuk kepada kemampuan seseorang untuk membuat pilihan atas tubuhnya sendiri tanpa menghadapi paksaan atau kekerasan dari pihak lain.

Autonomi Tubuh Adalah Asas Kepada Kesaksamaan Jantina

Malah, ia dianggap sebagai satu hak asasi oleh Pengarah Eksekutif Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA), Dr Natalia Kanem.

Dalam ucapan dasarnya pada Sidang ke-66 Suruhanjaya Mengenai Status Wanita, Dr Kanem berkata, autonomi tubuh adalah asas kepada kesaksamaan jantina dan merupakan misi kritikal bagi UNFPA.

“Autonomi tubuh badan bermakna tubuh saya adalah untuk saya; badan saya adalah milik saya. Ia merujuk kepada kekuasaan, ia adalah satu perantaraan. Ia merujuk kepada pilihan dan ia satu martabat,” tegasnya.

Di peringkat penggubal dasar, mantan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, pernah berjanji untuk  mempelbagaikan usaha bagi mewujudkan dasar yang  melindungi dan memberi tumpuan terhadap kesejahteraan wanita serta kanak-kanak perempuan dalam semua aspek pembangunan di negara ini.

“Hak autonomi tubuh adalah janji yang diperakui secara sah oleh undang-undang negara kita untuk setiap rakyat Malaysia,” katanya dalam ucaptama pada Forum Wanita dan Gadis Malaysia kali kedua yang dianjurkan oleh UNFPA, pada tahun 2021.

Katanya, Malaysia komited untuk menegakkan hak asasi manusia bagi semua rakyat di negara ini, termasuk hak kesaksamaan, maruah, autonomi, maklumat dan integriti tubuh badan serta menghormati kehidupan peribadi dan standard/ taraf/ piawaian kesihatan yang tertinggi, termasuk kesihatan seksual dan reproduktif.

Malaysia juga antara negara yang menandatangani Persidangan Antarabangsa Mengenai Pembangunan Penduduk (ICPD) dan Program Tindakannya, pada 1994, yang memastikan hak dan pilihan reproduktif untuk wanita dan kanak-kanak perempuan.

Ia diikuti Konvensyen Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) pada 1995, seterusnya melalui  komitmen negara terhadap ICPD semasa Persidangan Nairobi pada 2019.

Menurut Khairy, ia (hak autonomi badan) bukan sekadar aspirasi tetapi satu komitmen yang berakar daripada pemahaman bahawa Malaysia mesti berbuat yang terbaik untuk memastikan masyarakat seluruh negara dapat memenuhi potensi mutlak, hak dan membuat pilihan individu tanpa mengira umur, jantina atau kepercayaan mereka.

“Kita menetapkan sasaran untuk mencapai matlamat ini menjelang 2030, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG),” katanya.

Autonomi Tubuh Satu Hak Yang Tidak Boleh Dipisahkan

Menurut Gabriella Devi Benedicta dalam kajiannya, Dinamika Otonomi Tubuh Perempuan: Antara Kuasa dan Negosiasi atas Tubuh, seseorang individu itu memiliki kebebasan untuk menentukan apa yang dia ingin atau tidak ingin lakukan.

Katanya, autonomi tubuh pula berkaitan dengan kekuasaan, namun kekuasaan yang dimaksudkan itu adalah kekuasaan seseorang atas dirinya sendiri, bukan kekuasaan atas tubuh-tubuh individu lain.

Autonomi tubuh menjadi satu hak yang tidak boleh dipisahkan atau dilepaskan dari seseorang, dan penyangkalan terhadap autonomi tubuh merupakan sebuah penindasan yang  meragut/ menghalang kebebasan seseorang.

Sejak ribuan tahun lalu, pola hubungan lelaki dan wanita yang melihat kepada pertentangan terhadap autonomi tubuh, khususnya bagi wanita, telah menyaksikan  kelahiran budaya yang meletakkan kaum  wanita sebagai jantina yang lemah.

Sehingga kini, ia  masih dipertahankan oleh kebanyakan masyarakat dunia yang mengakibatkan kaum wanita tidak sedar  akan hak ke atas tubuh mereka sendiri yang memberikan mereka kuasa untuk menolak sesuatu yang dipaksa  ke atas mereka, baik oleh orang tua, suami, mahupun masyarakat.

UNFPA mencatat lebih dari 50 peratus wanita di 57 negara tidak memiliki atau ditolak autonomi tubuhnya, secara sah oleh undang-undang negara mereka mahupun melalui budaya masyarakat.

Bentuk-bentuk Kehamilan Paksa

Photo by Freestocks.org from Pexels.

Perkara ini memberi kesan kepada  pelbagai aspek kehidupan wanita seperti penderaan dan kekerasan berasaskan jantina yang banyak terjadi di seluruh dunia. Contohnya, kehamilan tanpa rela, iaitu satu keadaan di mana seorang wanita dipaksa, diancam dengan kekerasan untuk hamil atau melanjutkan kehamilan.

Bentuk-bentuk kehamilan paksa  juga pelbagai, dari larangan akses kepada alat cegah hamil atau kontrasepsi, kepada larangan menggugurkan kehamilan yang tidak direncanakan (unplanned pregnancy). Perkara ini sepatutnya diputuskan oleh ibu  mengandung kerana beliau sendiri yang mengalami dan mengetahui tahap kemampuan kelangsungan kehamilannya.

Laporan UNFPA juga menyebut bahawa lebih 87 peratus wanita di 57 negara yang diselidiki tidak memiliki pilihan bebas berkait dengan hubungan seksual bersama pasangan, alat cegah hamil (ACH) dan rawatan kesihatan.

Larangan kepada akses terhadap ACH menyukarkan kaum ibu untuk mengatur jarak kehamilan yang boleh meningkatkan risiko komplikasi dan jangkitan pada organ seksual dan reproduksi hingga akhirnya boleh menyebabkan kematian.

Kehilangan Autonomi Tubuh Akibat Kekerasan Dan Penderaan Berasaskan Jantina

Photo by Diana Cibotari from Pixabay.

Hak kesihatan seksual dan reproduktif (KSR) dan keadilan reproduktif (reproductive justice)  adalah penting  kerana ia berkait rapat dengan autonomi tubuh seseorang dimana seseorang memiliki kebebasan penuh ke atas tubuhnya, termasuk dalam memilih hubungan aktiviti seksual dan reproduksi mereka tanpa adanya diskriminasi, paksaan, dan kekerasan dari pihak kedua atau ketiga.

Di antara kekerasan dan penderaan berasaskan jantina yang berkaitan dengan kehilangan autonomi tubuh seseorang, khususnya bagi wanita, adalah kekerasan seksual, pemerkosaan dalam pernikahan, pemaksaan kehamilan, dan sebagainya.

Perlu difahami bahawa autonomi tubuh bukan sekadar berkisar mengenai kebebasan bagi seseorang dalam memilih dan bertindak, malah ia bersifat fundamental/ asas dan berkaitan dengan kelangsungan hidup seseorang. Hilangnya autonomi tubuh boleh menempatkan seseorang wanita itu dalam posisi rentan terhadap kekerasan yang  boleh meragut nyawanya.

Hubungan lelaki dan wanita adalah satu tema panjang yang tidak kunjung usai  meskipun telah diperdebatkan sejak 6.000 tahun silam, menurut Linda Meilinawati dan Baban Banita dalam kajian mereka, Perempuan dalam Kuasa Patriarki.

Kepincangan hubungan dua jantina ini mewujudkan hubungan berat sebelah yang menyaksikan kemunculan gerakan feminisme yang menuntut keadilan dan kesaksamaan gender, termasuklah aliran yang memperjuangkan soal kepentingan autonomi tubuh.

Biarpun dilihat radikal, Meilinawati dan Banita berkata, fokusnya adalah  kepada penindasan terhadap kaum hawa melalui dominasi lelaki ke atas seksualiti wanita berpunca dalam ruang yang sangat intim, iaitu diri wanita itu sendiri.

Oleh yang demikian, amat penting bagi kaum wanita untuk menyedari hak dan kuasa mereka ke atas tubuh badan mereka sendiri i.e., autonomi tubuh. Mereka perlukan kefahaman tentang ruang personal/ persendirian (personal space) seperti yang dijelaskan oleh Richard West dan Lynn H. Turner dalam buku mereka, Introducing Communication Theory: Analysis and Application.

Ruang personal/ persendirian bermaksud satu ruang yang tidak terlihat dan berubah-ubah melingkupi kehidupan seseorang, yang menunjukkan jarak yang dipilih  atau diambil oleh seseorang terhadap orang lain.

Kedua-dua ahli akademik tersebut percaya bahawa manusia berkeinginan untuk dekat dengan orang lain, tetapi pada masa sama, turut menginginkan jarak tertentu dan ini mewujudkan empat zon jarakkan (proximity) iaitu intim, personal/ persendirian, sosial dan umum (public).

Keupayaan seseorang memahami jarak dalam hubungan interaksi sesama individu membolehkan mereka memilih dan memutuskan cara mereka berhubungan dan pemahaman ini mampu menjadikan mereka lebih teliti dalam melaksanakan hak terhadap tubuh mereka.

Secara lazimnya, jenayah berkaitan tubuh badan seseorang yang melibatkan aspek seksual sukar untuk dibuktikan tanpa keterangan yang jelas. Misalnya, serangan seksual yang ditakrifkan sebagai sebarang sentuhan seksual tanpa kerelaan (consent).

Undang-undang Malaysia agak kabur dalam mentakrifkan serangan seksual secara jelas, namun pelbagai bentuk serangan seksual membentuk sebahagian besar kanun jenayah di negara ini. Antaranya termasuk mencabul kehormatan dan memasukkan sesuatu ke dalam alat kelamin (anus dan vagina) tanpa keizinan atau kerelaan individu berkenaan.

Keizinan Perlu Diberi Secara Rela

Untuk melakukan hubungan seksual secara sah dari sisi undang-undang Malaysia, kaum wanita perlu mencapai usia 16 tahun untuk berada pada usia memilih (age of consent) bagi kanak-kanak perempuan.

Selain itu, kapasiti minda seseorang juga diambil kira dalam soal kerelaan melakukan hubungan seksual, iaitu seorang yang tidak waras atau kurang siuman, mabuk atau di bawah pengaruh  alkohol atau dadah, tidak boleh memberi keizinan untuk melakukan aktiviti seks.

Menyebut tentang keizinan atau kerelaan, ia merujuk kepada ucapan “Ya” (Yes) dan bukan sekadar tanpa menyebut “Tidak”.

Untuk memahami soal keizinan, ia perlu diberi secara rela (freely-given); boleh ditarik balik (reversible) pada bila-bila masa walaupun semasa melakukan hubungan intim; seorang itu faham perkara dan risiko yang diizinkannya (informed); berkemahuan (enthusiastic) untuk melakukan hubungan seksual dan khusus (specific) untuk satu aktiviti seks sahaja.

Walaupun soal autonomi tubuh badan secara khususnya bermula sebagai gerakan feminisme, ia kini diperjuangkan untuk semua individu yang terkesan, merangkumi kanak-kanak dan golongan LGBTQ,

Malah, akhir-akhir ini, ia turut mencakupi perjuangan kepada akses vaksinasi mahupun mereka yang digelar anti-vaksin. Jika dilihat pada asasnya, perjuangan ini memberi suara kepada golongan yang merasakan diri mereka tertindas, bangkit bersuara memperjuangkan hak-hak dan kekuasaan mereka untuk kembali memiliki tubuh badan mereka sendiri.

Ia tidak boleh dipandang ringan dan dicampakkan sekadarnya untuk meraih undi mahupun menarik perhatian. Sebagaimana yang diungkapkan oleh Dr. Kanem, autonomi tubuh adalah hak fundamental/ asas setiap individu dan tidak boleh disisih atau dipinggirkan.

This article was produced in collaboration with the Canada Fund for Local Initiatives.

You May Also Like

Opinion

The recent shooting incident at KLIA 1 serves as a stark reminder of the urgent need to address violence against women in our society,...

World

Schools are supposed to prepare the next generation, but more young people feel like it's not for them. A simple question can help turn...

World

Efforts to address social issues risk being co-opted for political gain or used to further divisive agendas.

World

There are risks with making cohabitation illegal, so striking a balance is essential.