Connect with us

Hi, what are you looking for?

Malaysia

Kisah Tiga Wanita: Didera Seksual Ayah Kandung, Onani Berkumpulan, Pengalaman Pahit Di Tinder

Tiga wanita yang pernah mengalami gangguan seksual berkata pendidikan seksual komprehensif, konsep autonomi tubuh, batasan dan persetujuan seksual perlu diajar dan diterapkan supaya kaum wanita mengetahui apa yang selamat dan sesuai bagi mereka.

Photo by Sasin Tipchai from Pixabay.

KUALA LUMPUR, MaySelama enam tahun, sejak berusia 14 tahun, Divya (nama samaran) telah menjadi mangsa gangguan dan penderaan seksual bapa kandungnya sendiri. Divya yang kini berumur 27 tahun dan sedang menyambung pelajaran di peringkat sarjana berkata, “Setiap kali ia berlaku, saya mandi berkali-kali kerana saya berasa jijik.”

Divya tinggal bersama datuk dan neneknya, namun pada hujung minggu, dia akan pulang ke rumah ibu bapa kandungnya. “Saya biasanya menangis dan berusaha mengelak  dari pergi ke sana, tetapi akhirnya saya selalu dipaksa ,” katanya.

Walaupun Divya terpaksa menanggung beban penderitaannya bersendirian, dia kerap memikirkan cara untuk mengatasi situasi yang dihadapinya. Baginya, pengalaman pahit itu telah menyebabkan trauma yang berpanjangan hingga saat ini. Divya mengaku sulit untuk menjalin hubungan yang positif dengan lelaki dan sering merasa takut.

Gangguan Seksual Kebimbangan Utama Wanita Malaysia

Menurut kajian yang dilakukan oleh Ipsos, sebuah syarikat penyelidikan pasaran multinational, rakyat Malaysia menganggap gangguan seksual sebagai isu utama yang dihadapi wanita di negara ini berbanding isu-isu penting yang lain.

Kajian ini, yang dijalankan secara dalam talian di kalangan rakyat berusia 16 hingga 74 tahun dari 30 negara, menunjukkan bahawa seramai 35 peratus rakyat Malaysia menyatakan gangguan seksual sebagai isu utama, berbanding dengan purata global sebanyak 29 peratus. Kajian ini dijalankan dari Januari 21 hingga ke Februari 4 tahun lepas.

Kejadian gangguan seksual dan pencabulan hak seksual yang semakin berleluasa menunjukkan  kepentingan pendidikan seksualiti yang komprehensif untuk rakyat Malaysia.

Bagi Divya, pengalaman dan pengetahuan yang diperoleh dari sumber-sumber dalam talian telah membuka matanya mengenai kepentingan pendidikan seks sejak usia muda.

Penderaan seksual yang dialaminya berhenti apabila Divya berumur 20 tahun, selepas kes itu dibawa ke pihak polis, dan dia juga diberi pilihan untuk tidak kembali kepada ibu bapa kandungnya.

“Ibu bapa, penjaga, dan pendidik juga seharusnya tidak mengabaikan apa yang dikatakan oleh kanak-kanak mengenai perbuatan seksual. Sebaliknya, mereka sepatutnya membela kanak-kanak  tersebut.”

Divya.

Divya kini menjalani sesi kaunseling untuk memahami apa yang terjadi padanya.

“Saya telah menceritakan semua yang  terjadi kepada kaunselor saya dan menerima bantuan daripadanya untuk mengatasi trauma yang saya alami,” katanya.

Dimasukkan Dalam Senario Seksual Tanpa Persetujuan

Glenne (nama samaran), yang berusia 24 tahun, pada dasarnya tidak memiliki pengetahuan yang menyeluruh tentang pendidikan seksual sebelum mengalami gangguan seksual oleh bekas teman lelakinya.

Meskipun dia memiliki pengetahuan tentang asas persetujuan seksual dan autonomi badan, tetapi pelajar yang berstatus bujang mengakui tidak menyedari sejauh mana konsep persetujuan ini diterapkan dalam senario diluar perbuatan seksual secara fizikal.

“Bekas pasangan saya telah menghubungi saya melalui telefon selepas dia keluar malam dan mabuk. Tetapi kemudian dia tiba-tiba senyap dan saya mula menyedari, dari bunyi suara yang terdengar di telefon, bahawa mereka (bekas teman lelaki dan kawan-kawannya) sedang melakukan onani secara berkumpulan,” kata Glenne.

“Saya berkali-kali memanggil nama mereka untuk menarik perhatian mereka, tetapi tidak diendahkan. Akhirnya, saya mematikan talian itu.” 

Pengalaman negatif tersebut telah memberikan Glenne pemahaman yang lebih jelas mengenai konsep autonomi tubuh, batasan dan persetujuan seksual.

Dia menyedari bahawa tidak adil  bagi pasangannya untuk menganggap bahawa dia boleh dimasukkan ke dalam senario seksual seperti itu, tanpa persetujuan atau komunikasi yang jelas dengannya.

“Saya mula sedar selepas adanya perbualan yang lebih terbuka bersama rakan tentang senario rumit seperti seks, tekanan dan dinamik kuasa.”

Glenne.

“Saya juga lebih bersikap terbuka untuk membaca dan memahami tentang seks dan persetujuan,” kata Glenne.

“Kini, saya lebih yakin tentang diri saya, dan saya berasa lebih bangga dengan pemilikan tubuh saya sendiri serta pilihan yang saya buat mengenainya.”

Di Tinder Bercenderung Kepada Hubungan Seksual

Secara umum, perbincangan mengenai pendidikan dan kesihatan seksual masih dianggap sesuatu yang tabu di Malaysia. Hal ini menyebabkan kesedaran wanita tentang hak-hak peribadi mereka menjadi terbatas.

Alia, seorang suri rumahtangga yang berusia 29 tahun, berkata pengalaman peribadinya dulu dalam mencari pasangan menggunakan aplikasi dating Tinder menunjukkan bahawa dia sendiri kurang memahami secara jelas konsep autonomi tubuh dan hak-hak wanita.

Menurutnya, ada di kalangan lelaki yang dikenalinya melalui Tinder sejak awal menunjukkan kecenderungan untuk menjalani hubungan yang hanya ke arah seksual.

Ada juga yang pada awalnya nampak seperti ingin berkawan tetapi akhirnya apabila bersetuju untuk bertemu, lelaki tersebut lebih fokus pada hubungan seksual. Bahkan, ada yang cuba memaksanya.

“Tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan seks di Malaysia berada pada tahap yang rendah. Disebabkan oleh itu, masih ramai yang tidak mengetahui apakah itu autonomi tubuh dan saya sendiri sedar yang saya lewat memahami konsep tersebut.”

Alia.

Namun begitu, ibu kepada seorang anak itu berpendapat bahawa kegagalan lelaki untuk menghormati hak dan pendirian wanita adalah satu perkara yang sangat menjengkelkan baginya.

Alia berharap agar golongan muda hari ini lebih cakna mengenai isu tersebut kerana dia yakin pelbagai isu sosial dapat dikurangkan dengan adanya kesedaran itu.

“Perkara ini juga sebenarnya memerlukan perhatian serius daripada kerajaan agar isu sosial melibatkan remaja dan kanak-kanak di Malaysia dapat dikurangkan,” tegasnya.

Kisah yang dikongsikan gadis dan wanita ini sebenarnya mewakili segelintir wanita di seluruh negara yang tidak mempunyai kawalan ke atas badan dan kehidupan mereka sendiri.

Di sini jelas bahawa pendidikan seksualiti yang komprehensif akan membolehkan kaum wanita mengetahui apa yang selamat dan sesuai bagi mereka. Ia juga boleh menanamkan pemahaman kepada wanita dan juga lelaki yang mereka mempunyai hak dan kuasa untuk membuat keputusan sendiri tentang  tubuh mereka.

Pengetahuan ini boleh digunakan untuk mencegah paksaan, kehamilan yang tidak dirancang, pernikahan kanak-kanak, penyakit kelamin, gangguan seksual dan pelbagai masalah kesihatan dan sosial lain.  

This article, written by Heliana Hashim, was produced in collaboration with the Canada Fund for Local Initiatives.

You May Also Like

Opinion

In a review of International Women's Month, MWGF says policies, while well-intentioned, may lack a holistic gender lens. It is therefore vital to ensure...

Opinion

The recent shooting incident at KLIA 1 serves as a stark reminder of the urgent need to address violence against women in our society,...

World

There are risks with making cohabitation illegal, so striking a balance is essential.

World

An Indonesian Supreme Court decision has made it harder for interfaith couples to have their marriages recognised.