Connect with us

Hi, what are you looking for?

Opinion

Perspektif Islam Mengenai Ujian Poligenik Dan Pemilihan Embrio IVF (PGT-P) – Sayyed Mohamed Muhsin, Dr Mohd Faizal Ahmad & Dr. Alexis Heng Boon Chin

Kini, penggunaan IVF dilihat bersifat kontroversi apabila kaedah ini ditambahbaik untuk menilai tahap kesihatan dan kecerdasan embrio yang dirujuk sebagai Ujian Genetik Pra-Implantasi untuk Skor Risiko Poligenik (PGT-P).

Image by Victoria from Pixabay.

Kebelakangan ini, ujian genetik dan pemilihan embrio melalui kaedah bayi tabung uji atau IVF (In-vitro Fertilisation) yang dikenali juga sebagai Ujian Genetik Pra-implantasi (PGT), telah digunakan secara meluas untuk mencegah penghasilan embrio yang mungkin mewarisi kecacatan pada genetik. 

Kini, penggunaan IVF dilihat bersifat kontroversi apabila kaedah ini ditambahbaik untuk menilai tahap kesihatan dan kecerdasan embrio yang dirujuk sebagai Ujian Genetik Pra-Implantasi untuk Skor Risiko Poligenik (PGT-P) .

Secara umumnya, tahap kesihatan dan kecerdasan embrio yang berkualiti terhasil daripada gabungan gen yang pelbagai.

Justeru, gen tersebut dapat dikenal pasti melalui kaedah Skor Risiko Poligenik (PRS) yang boleh menilai kualiti embrio untuk dijadikan sebagai panduan yang bertujuan untuk memilih embrio yang berkualiti. 

Kini, kecanggihan teknologi tinggi di samping algoritma kecerdasan buatan (AI) sedang dibangunkan bagi menyaring kepelbagaian gen yang kompleks dalam jisim embrio.

Perkara ini nyata berbeza dengan penyuntingan gen kerana tiada manipulasi genetik berlaku melalui kaedah PRS.

Hakikatnya, ia diperihalkan seumpama memilih embrio terbaik diantara kesemua embrio yang terhasil dalam kitar IVF yang sama.

Justeru, PRS mampu menentukan kombinasi gen terbaik dan mempunyai kadar mutasi yang paling minimum.

Umumnya, kaedah PRS ini dilihat tidak bercanggah dengan hukum Islam, kerana tiada pengubahsuaian gen yang dilakukan.

Justeru, ia tidak tergolong dalam usul – mempertikaikan ciptaan Allah (‘abath). 

Para ilmuan Islam berpendapat bahawa mengubah gen manusia adalah dilarang melainkan hal tersebut terpaksa dilakukan atas faktor perubatan.

Ini kerana kepercayaan Islam,  penciptaan manusia oleh Allah adalah sebaik-baik penciptaan. 

Seperti di dalam firman Allah, surah At-Tin yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya).

Jadi, sekiranya manusia mempertikaikan ciptaan Allah, secara tidak langsung  mengatakan bahawa ciptaan Allah itu adalah sia-sia.

Namun, perlaksanaan PRS juga boleh menjadi kontroversi dari sudut etika dan moral yang mungkin tidak menepati syariah sekiranya dipandang dari sudut yang lebih mendalam berdasarkan lima prinsip rukun Islam – Qawa’id Fiqhiyyah iaitu Qaṣd (niat), Yaqın̄ (kepastian), Ḍarar (kemudaratan), Ḍarūra (keperluan), dan ‘Urf (adat).

Perlu Diperhalusi Matlamat Indikasinya

Dalam prinsip Qaṣd (niat), teknologi perubatan yang terkini perlu diperhalusi matlamat indikasinya.

Justeru, kaedah PRS atau PGT-P digunapakai untuk meningkatkan tahap kesihatan dan kecerdasan embrio yang bakal dilahirkan bukan untuk mengubati atau mencegah permasalahan kesihatan.

Jadi, tiada penglibatan risiko yang perlu dielakkan bagi mengelakkan mudarat. 

Dalam konteks ini, jika penghasilan embrio melalui IVF hanya bertujuan untuk memastikan tahap kesihatan dan kecerdasan adalah optimum, ia boleh dianggap bertentangan dengan normalisasi pertumbuhan keturunan bagi manusia kerana melibatkan perkara yang kompleks tanpa keperluan darurat.

Selain itu, embrio yang dipilih secara sukarela berdasarkan kriteria seperti kesihatan dan kecerdasan optimum juga dikatakan bercanggah dengan Sunnatullah – pola takdir Ilahi.

Melalui pola ini, ia merangkumi kepelbagaian yang jelas di muka bumi yang terhasil secara alami. 

Dalam Islam, kepelbagaian dianggap sebagai bukti kepada perancangan Allah. Ianya terhasil dari kreativiti dan keupayaan manusia bagi meneruskan keseimbangan dan kewujudan manusia dan tata hidup di dunia.

Justeru, berkemungkinan PGT-P ini dikatakan sebagai salah satu langkah bagi memanipulasi fakta kehidupan hakiki.

Perlu Berlandaskan Sumber Ilmu Saintifik Semasa 

Dalam konteks Qawa’id Yaqın̄ (kepastian) pula, penggunaan teknologi terkini perlu berlandaskan sumber ilmu saintifik semasa serta keselamatan dan keberkesanannya.

Walaupun kaedah PGT-P dipercayai mempunyai risiko yang minimum namun keberkesanannya tetap bergantung kepada isu teknikal dan logistik. 

Dengan pemeriksaan poligenik melalui PGT-P, kebanyakan pemilihan gen berlaku di antara embrio dengan ibubapa akan meminimumkan perubahan genetik.

Ini akan mengehadkan kegunaannya dalam menyaring ciri kompleks seperti kecerdasan dan daya tahan pada penyakit tertentu. 

Selain itu, sekiranya hasil saringan adalah sedikit berkemungkinan keputusan PGT-P tidak mencerminkan keputusan yang sebenar, sekali gus menghalang penggunaan algoritma pemilihan secara berkesan.

Seperkara lagi, kebanyakan gen di dalam sel mempunyai fungsi tersendiri. Ianya disusun secara kompleks dan sentiasa interaksi antara satu sama lain. 

Natijahnya, sekiranya kebarangkalian pemilihan sifat yang positif, ia juga secara tidak langsung akan menjurus kepada peningkatan dalam risiko pemilihan sifat negatif juga.

Sebagai contoh, terdapat beberapa pola genetik antara kecerdasan yang lebih tinggi dan berisiko untuk mengalami kecelaruan (bipolar) serta autisme.

Risiko Penyalahgunaan

Melalui cabang Ḍarar (kecederaan), ianya menimbulkan persoalan tentang risiko yang boleh terjadi disebabkan oleh teknik perubatan baru.

Namun, di dalam konteks PGT-P, ianya yang tidak melibatkan sebarang pengubahsuaian genetik justeru potensi risiko tidak timbul daripada teknik itu sendiri, tetapi sebaliknya berkemungkinan risiko penyalahgunaan. 

Sebagai contoh, terdapat risiko bahawa PGT-P mungkin meningkatkan permintaan rawatan bayi tabung uji – IVF (in-vitro fertilisation) secara komersial yang menjadikan PGT-P sebagai asas rawatan berbanding indikasi awal hanya untuk membantu pasangan yang kurang subur.

Justeru,  pasangan yang sihat dan subur turut akan memilih rawatan IVF dan PGT-P ini, demi mendapat peluang bagi pemilihan embrio dan mengoptimumkan kesihatan dan kecerdasan anak mereka. 

Tekanan sosial mungkin menyukarkan untuk menghalang penggunaan ujian genetik sedemikian, terutamanya di kalangan mereka yang mampu, kerana ini tergolong dalam gaya kehidupan terkini.

Perasaan bersalah mungkin dirasai kerana tidak memberi keturunan mereka permulaan terbaik dalam hidup dengan tidak mengunapakai kaedah ujian genetik seperti itu melalui IVF. 

Umum mengetahui, kos rawatan IVF adalah tinggi dan dikira sebagai rawatan yang invasif dan berisiko.

Oleh itu, justifikasi rawatan ini adalah sangat rendah untuk pesakit yang sihat dan subur hanya untuk memastikan ujian genetik dan pemilihan embrio melalui PGT-P, dilakukan sebelum menimang cahaya mata.

Ianya akan dilabel sebagai ketidakadilan dalam dunia perubatan dan mungkin dianggap sebagai penyelewengan klinikal. 

Perkara ini turut memberi kesan kepada pesakit yang mengalami masalah kesuburan yang sebenar, di mana ujian PGT-P akan memberi impak kepada wanita untuk menjalani kitaran IVF yang berganda demi untuk menghasilkan embrio berlebihan bagi membolehkan ujian genetik dan pemilihan dilakukan. 

Hal ini secara langsung akan memberikan tekanan yang kepada pesakit dimana kerumitan proses rawatan IVF yang sedia ada ditambah pula dengan risiko pembuangan embrio yang tidak perlu akan menjejaskan matlamat asal iaitu  rawatan kesuburan secara dasarnya.

Sama Seperti Pembedahan Kosmetik

Melalui cabang Ḍarūra (keperluan) pula, ianya mempersoalkan keperluan untuk menggunakan teknik perubatan baru dan persoalan mengenai kedapatan alternatif lain yang tersedia. 

Dalam kes PGT-P, kerana tiada penyakit yang disembuhkan atau mana-mana nyawa yang diselamatkan, ini jelas akan meletakkannya sebagai hiasan (tahsiniyyat), sama seperti pembedahan kosmetik.

Manakala cabang ‘Urf (adat) pula, ia merujuk kepada mengambil kira adat dan tradisi suku masyarakat apabila membuat keputusan mengenai sebarang isu baru, seperti teknik perubatan baru.

Dalam kes PGT-P, ini akan bercanggah dengan konsep sejagat yang hampir merentasi budaya yang berbeza bahawa ibu bapa harus tanpa syarat mencintai anak-anak mereka, tanpa mengira bakat individu mereka, kebolehan intelektual dan kekurangan fizikal. 

Terdapat risiko bahawa selepas menjalani rawatan ini yang berkos tinggi, ibu bapa mungkin mula mempunyai jangkaan yang tidak realistik terhadap anak-anak mereka yang istimewa kerana disaring melalui ujian genetik.

Kesimpulannya, isu ujian genetik ini setelah diperhalusi dan dikupas secara analisis kritikal berdasarkan Qawa’id Fiqhiyyah (Kaedah Jurisprudensi Islam), penggunaan PRS atau PGT-P dalam rawatan kesuburan manusia sedia ada jelas tidak sejajar dengan prinsip Islam.

Artikel ini diolah berdasarkan penelitian dari artikel yang diterbitkan dalam jurnal akademik antarabangsa dengan tajuk (Islamic Perspectives on Polygenic Testing and Selection of IVF Embryos (PGT-P) for Optimal Intelligence and Other Non-Disease-Related Socially Desirable Traits).

Sayyed Mohamed Muhsin adalah pakar perundangan Islam dan penolong profesor di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Dr Mohd Faizal Ahmad adalah doktor pakar IVF dan profesor madya di Universiti Kebangsaan Malaysia. Dr Alexis Heng Boon Chin adalah profesor madya sains bioperubatan di Universiti Peking, China.

  • This is the personal opinion of the writer or publication and does not necessarily represent the views of Ova.

You May Also Like

Opinion

Dr Bheena Vyshali debunks the myth that pelvic floor exercises are only appropriate for postpartum women, arguing that women of all ages should perform...

Malaysia

When his wife, Norzey Md Nata, became unconscious for a whole month and then bed-ridden for a year-and-a-half after she suffered from a relapse...

World

More and more children are growing up with robots at home, but their impact on early learning and development is still largely unknown and...

Malaysia

The campaign aims to promote prediabetes screening, diagnosis, and management to prevent progression to Type 2 Diabetes Mellitus.