Connect with us

Hi, what are you looking for?

Malaysia

Perundangan Malaysia Membenarkan Pengguguran Kandungan

Pakar O&G Dr Jamiyah Hassan menyifatkan undang-undang pengguguran di Malaysia pada kebiasaannya adalah kabur.

Prof Dr Jamiyah Hassan, pakar perbidanan dan sakit puan Universiti Teknologi MARA bercakap di persidangan Menangani Kehamilan Luar Jangka di Malaysia yang dianjurkan oleh Pusat Dasar Kesihatan dan Sosial Galen dengan kerjasama syarikat penjagaan kesihatan Organon Malaysia, pada Mei 20-21, 2022 di Kuala Lumpur. Gambar daripada Pusat Dasar Kesihatan dan Sosial Galen.

KUALA LUMPUR, Jan 9  – Kewujudan undang-undang yang membenarkan pengguguran kandungan dibuat secara sah di negara ini telah berjaya mengekang berleluasanya prosedur secara haram yang boleh membahayakan nyawa bakal ibu.

Pakar perbidanan dan sakit puan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof Dr Jamiyah Hassan berkata, berbeza dengan tanggapan umum, pengguguran kandungan secara sah termaktub di bawah Seksyen 312 Kanun Keseksaan yang telah berkuatkuasa lebih setengah dekad lalu.

Berucap pada satu persidangan baru-baru ini, beliau berkata, seksyen itu membolehkan prosedur pengguguran kandungan dijalankan mengikut undang-undang bagi menyelamatkan nyawa seseorang wanita dan mengekalkan kesihatan fizikal dan mental ibu berkenaan.

Di bawah undang-undang Islam pula, fatwa yang dikeluarkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan menyebut, pengguguran dibenarkan dalam tempoh 120 hari usia kandungan yang membabitkan kes-kes yang membahayakan nyawa ibu atau sekiranya didapati fetus yang dikandung adalah abnormal.

Bagaimanapun, menurut satu laporan akhbar The New Straits Times yang dipetik oleh Pusat Kajian dan Sumber Asia Pasifik (Arrow), fatwa tersebut tidak diuar-uarkan ketika ia diputuskan pada tahun 2002 kerana bimbang ia boleh disalahgunakan.

Perangkaan dari pangkalan data Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) pula mendapati sekurang-kurangnya 15 fatwa yang berbeza berkaitan pengguguran kandungan yang diputuskan oleh pihak berkuasa agama negeri termasuk Selangor, Johor, Sarawak, Sabah, Negeri Sembilan, Pahang dan Johor.

Sebahagian fatwa meliputi isu berkaitan bekalan alat cegah hamil, manakala sebahagian lain melibatkan individu berisiko tinggi, hal penyakit berjangkit seperti batuk kering, Zika dan thalassemia, serta mangsa jenayah rogol. Bagaimanapun, daripada jumlah  tersebut, hanya dua fatwa telah diwartakan.

Di Pahang, satu fatwa yang dikeluarkan pada tahun 2010 mewartakan kebenaran pengguguran kandungan dan pembekalan alat cegah hamil kepada golongan berisiko tinggi.

Fatwa berkenaan membenarkan pengguguran kandungan dalam tempoh 120 hari (empat bulan) kehamilan bagi mangsa rogol, pesakit HIV serta wanita sakit mental dan kurang upaya.

Pengguguran kandungan melebihi usia 120 hari adalah haram melainkan atas nasihat pengamal perubatan beragama Islam yang warak bagi tujuan menyelamatkan nyawa wanita yang berkenaan. 

Pengguguran kandungan juga tidak dibenarkan bagi kes kehamilan luar nikah melainkan ia mengancam kesejahteraan hidup  ibu yang hamil. Bekalan alat cegah hamil untuk aktiviti seks luar nikah turut diharamkan.

Di Sabah, satu fatwa yang diwartakan pada tahun 2017 mengharamkan pengguguran kandungan secara am meskipun melibatkan ibu yang dijangkiti virus Zika. Ia hanya dibenarkan jika berisiko membahayakan nyawa ibu tersebut dan disahkan oleh pengamal perubatan yang boleh dipercayai.

Menurut satu kenyataan Pusat Kawalan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat, virus Zika disebarkan oleh nyamuk aedes dan boleh menjangkiti janin dalam kandungan yang seterusnya boleh menyebabkan kecacatan selepas lahir.

Fatwa yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri Sabah juga menetapkan pengguguran janin perlu dibuat dengan persetujuan pasangan dan harus dilaksanakan dalam tempoh 120 hari usia kandungan.

Kadar Rendah Pengguguran Tidak Selamat Di Malaysia

Meskipun tidak ramai yang menyedari kewujudannya, undang-undang negara ini membenarkan akses kepada alat cegah hamil dan pengguguran janin dengan selamat oleh pengamal perubatan berdaftar sebagaimana yang termaktub di bawah Kanun Keseksaan, kata Dr Jamiyah.

Beliau berkata demikian pada persidangan Menangani Kehamilan Luar Jangka di Malaysia yang dianjurkan oleh Pusat Dasar Kesihatan dan Sosial Galen dengan kerjasama syarikat penjagaan kesihatan Organon Malaysia yang diadakan di Kuala Lumpur, Mei lalu.

“Sekiranya kita faham undang-undang negara ini, penamatan kehamilan  dibenarkan jika ia dilakukan oleh pengamal perubatan berdaftar.  Perundangan negara tidak menetapkan bahawa ia hanya boleh dilakukan oleh pakar sakit puan – ia hanya menyebut pengamal perubatan berdaftar. Malah doktor biasa pun boleh menawarkan khidmat untuk menggugurkan kandungan secara selamat. Undang-undang ini ada. 

“Sudah tentu kita perlu mematuhi kriteria atau tatacara Akta berkenaan – aspek fizikal dan emosinya,” kata Dr Jamiyah. Tambah beliau, aspek perundangan dalam hal tersebut pada kebiasaannya adalah kabur.

Beliau yang merupakan profesor di Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan UiTM Sungai Buloh juga menyebut, Malaysia tidak mempunyai Daftar Pengguguran namun secara amnya, dianggarkan 90,000 kes pengguguran janin dilakukan setiap tahun.

“Kita sedar ia berlaku. Namun kita tahu ia dibuat secara selamat (walaupun) ramai yang melakukannya secara sembunyi kerana ia satu isu yang sensitif,” kata Dr Jamiyah.

“Apabila kita menyemak Confidential Enquiries Into Maternal Deaths (CEMD), seingat saya, pada 2011, kematian ibu akibat pengguguran hanya 1.5 peratus, jadi kadar pengguguran tidak selamat masih sangat rendah. Ini bermakna ada kes namun ia dibuat secara senyap-senyap.

“Persoalannya sekarang, apakah yang patut kita tambah baik lagi? Kita telah melaksanakan kempen kesedaran alat cegah hamil, bukannya kita tidak lakukan.

“Saya sendiri terlibat dalam program pendidikan kesuburan dan kesihatan seksual di kolej dan universiti pada tahun 2008, yang mendapat sokongan syarikat farmaseutikal. Syarikat-syarikat ini sedar mereka ada tanggungjawab sosial korporat untuk membantu kita. Oleh itu, kita perlu buat lebih lagi (program sedemikian),” kata Dr Jamiyah.

Kesahihan Data Yang Diragui Mencacatkan Statistik Kematian Ibu Hamil

Dr Narimah Awin, mantan pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN),  bercakap di persidangan Menangani Kehamilan Luar Jangka di Malaysia yang dianjurkan oleh Pusat Dasar Kesihatan dan Sosial Galen dengan kerjasama syarikat penjagaan kesihatan Organon Malaysia, pada Mei 20-21, 2022 di Kuala Lumpur. Gambar daripada Pusat Dasar Kesihatan dan Sosial Galen.

Mantan pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Narimah Awin, yang juga bekas pengarah Jabatan Pembangunan Kesihatan Keluarga, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pula menekankan aspek keraguan berkaitan data kehamilan dan pengguguran janin di seluruh negara.

Beliau berkata, ketiadaan kadar kehamilan golongan wanita cukup umur di Malaysia menyebabkan penyelidik kesihatan umum dan masyarakat sivil lazimnya merujuk kepada perangkaan seperti kadar kelahiran hidup dan kematian sebagai penunjuk proksi selain menjalankan tinjauan sendiri.

“Sememangnya wujud banyak jenis data (berkaitan kehamilan luar jangka). Di Malaysia, kita mempunyai daftar induk tetapi ia tidak mencukupi.

“Malah, semasa saya bertugas sebagai pengarah di KKM, setiap kali laporan dihantar ke Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) bahawa kematian ibu hamil untuk tahun ini adalah sekian, sekian, WHO berpandangan jumlah itu perlu  digandakan 1.5 kali dan ia selalunya mendatangkan kemarahan (mantan Menteri Kesihatan) Chua Jui Meng.

“Beliau selalu berkata, ‘Narimah, awak perlu beritahu mereka (WHO) daftar kita adalah 39, kenapa ia naik sampai 50?’ Dan saya menjawab, ‘Mereka (WHO) akan darab 1.5’ kerana daftar induk, walaupun ia meliputi hampir setiap kelahiran dan kematian, namun dalam soal  pelaporan punca kematian, kita amat teruk.

 “Rekod punca kematian dalam sijil kematian negara ini tidak tepat. Oleh itu,  walaupun liputannya bagus tetapi data itu tidak berkualiti,” kata Dr Narimah yang merupakan seorang doktor perubatan dan bekas penasihat kesihatan kesuburan di WHO. 

“Saya pernah menganalisis kematian ibu di Myanmar, dan menurut mereka kadar kematian di sana dalam lingkungan 2,000 kematian setahun. Namun apabila mereka membuat bancian, jumlah sebenar adalah 10 kali ganda lebih besar.

Oleh itu, Dr Narimah berkata, daftar induk  daripada Sistem Maklumat Pengurusan Kesihatan (HMIS)  sahaja tidak mencukupi. Bancian menunjukkan jumlah sebenar adalah lebih besar daripada  yang dilaporkan.

HMIS merupakan sistem maklumat utama KKM yang digunakan untuk memantau kadar insiden dan penyebaran penyakit berdasarkan rekod kesihatan yang diperoleh dari pejabat kesihatan daerah dan negeri.

“Alangkah baiknya jika kita boleh mengumpulkan bilangan kehamilan dan daripada bilangan tersebut kita boleh tahu, jumlah ibu yang berkahwin, jumlah ibu yang tidak berkahwin; daripada ibu yang berkahwin, berapa ramai yang merancang kehamilan dan berapa banyak yang tidak menjangkakannya…dan sudah tentunya, ia meliputi kehamilan luar nikah,” kata Dr Narimah. 

“Jika kita ada angka-angka itu tentunya ia lebih ideal tetapi saya sedar mustahil untuk kita mencapainya.”

Kehamilan Luar Jangka Dalam Kalangan Suri Rumah dan Wanita Bujang 

Dr Narimah turut menyentuh mengenai kesan-kesan kehamilan yang tidak diingini oleh wanita yang berkahwin ataupun yang masih bujang.

Menceritakan pengalamannya berkhidmat dalam program pengguguran selamat di bawah naungan WHO di Bangladesh, Dr Narimah berkata, hampir kesemua kehamilan luar jangka di negara Islam tersebut melibatkan wanita yang telah berkahwin.

“Mereka terdiri daripada golongan isteri-isteri. Mereka hamil tetapi tidak menginginkan kehamilan itu, sama ada mereka tidak merancang ataupun kaedah perancangan keluarga yang diamalkan gagal – bukan semua cara merancang keluarga berkesan.

 “Mereka tidak mahu hamil tetapi apabila disahkan mengandung, mereka terpaksa menerimanya atas alasan perkahwinan. Sebab itulah, Bangladesh memiliki banyak keluarga yang besar,” kata Dr Narimah.

Beliau berkata, menjadi satu kebiasaan bagi wanita bujang hamil di negara itu yang memutuskan untuk berkahwin berbanding memilih untuk menggugurkan kandungan mereka.

“Sebahagian wanita bujang yang miskin ini akhirnya menanggung kehamilan tidak dirancang kerana patuh kepada ibu mereka yang menghalang pengguguran kerana mereka beragama Islam. Akhirnya, gadis ini memilih untuk mengahwini teman lelakinya kerana kehamilan yang tidak dirancang ini.

“Pengakhiran kepada perkahwinan ini tidak selalu positif. Kita mendengar banyak kisah tragis akibat daripadanya,” kata Dr Narimah.

“Kebanyakan kehamilan luar nikah adalah tidak diinginkan tetapi ada juga di kalangan para isteri yang tidak mahukan kehamilan mereka dan mereka mahu menggugurkannya,” tambah beliau.

Peranan Kaum Lelaki Dalam Kehamilan Luar Jangka 

Dr Asa Torkelsson, wakil Dana Penduduk Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNFPA) di Malaysia yang juga pengarah bagi negara Thailand,  bercakap di persidangan Menangani Kehamilan Luar Jangka di Malaysia yang dianjurkan oleh Pusat Dasar Kesihatan dan Sosial Galen dengan kerjasama syarikat penjagaan kesihatan Organon Malaysia, pada Mei 20-21, 2022 di Kuala Lumpur. Gambar daripada Pusat Dasar Kesihatan dan Sosial Galen.

Bercakap pada persidangan yang sama, Dr Asa Torkelsson, wakil dana penduduk Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (UNFPA) di Malaysia yang juga pengarah bagi negara Thailand, berkata kaum lelaki memainkan peranan dalam mencegah kehamilan yang tidak dijangka.

Dr Torkelsson berkata, laporan UNFPA “Seeing the Unseen: The case for action in the neglected crisis of unintended pregnancy” yang dikeluarkan pada Mac lalu mendapati maruah, stigma, kebimbangan, kemiskinan, dan ketidaksamaan jantina menjejaskan hak wanita dan anak gadis untuk memilih, memperoleh alat cegah hamil dan memutuskan penggunaan kondom oleh pasangan mereka.

Menurut laporan itu, data yang diperoleh daripada wanita dalam usia reproduktif di 64 negara menunjukkan 23 peratus tidak mampu menolak permintaan seks, 24 peratus tidak mampu membuat keputusan berkaitan kesihatan sendiri, dan lapan peratus gagal memilih untuk menggunakan alat cegah hamil.

Ini bermakna hanya 57 peratus wanita yang mampu membuat keputusan terhadap hak-hak dan kesihatan seksual dan kesuburan mereka.

“Pada saya, semuanya bergantung kepada daya kemampuan masing-masing,” kata Dr Torkelsson.

“Lalu bagaimana kita mahu melibatkan kaum lelaki dalam hal ini? Pada saya, dalam sesi terdahulu ada beberapa pandangan baru yang saya tidak pernah sedari sebelum ini. Sebagai contoh, perasaan malu di kalangan lelaki yang mahu membeli kondom secara terbuka di kedai-kedai disebut sebagai satu halangan.

“Kita perlu mendalami perkara ini bagi merungkai halangan bagi kaum lelaki ataupun hubungan kuasa dalam rumah tangga yang membuatkan wanita sukar untuk membuat keputusan dalam menjaga kesejahteraan fizikal mereka,” tambah Dr Torkelsson.

This article was produced in collaboration with the Canada Fund for Local Initiatives.

You May Also Like

Opinion

Dr Bheena Vyshali debunks the myth that pelvic floor exercises are only appropriate for postpartum women, arguing that women of all ages should perform...

Malaysia

When it comes to diabetes, experts explain that physiological differences between Western and Asian populations are significant, stressing the urgent needs for local data...

World

The sanctity of a marriage provides no protection to interfaith couples and those in live-in relationships are even more vulnerable.

Opinion

Egg freezing offers a beacon of hope, enabling women to defy biological constraints and pursue parenthood on their own terms, says fertility specialist Dr...