Connect with us

Hi, what are you looking for?

Malaysia

Realiti Pengguguran Di Malaysia: Tidak Mudah Diakses Dan Mahal

Menurut Hannah, seorang wanita muda yang telah menjalani pengguguran, kos yang dikenakan untuk prosedur itu adalah sekitar RM2,500; Ini boleh dianggap agak mahal dan tidak semua wanita mampu untuk membayar.

Photo by Daniel Reche/Pexels.

KUALA LUMPUR, April 27 – Isu kehamilan yang tidak diingini masih menjadi kontroversi global, dan Malaysia tidak terkecuali.

Walaupun menggugurkan janin dibenarkan dalam keadaan yang tertentu seperti risiko kepada nyawa atau kesihatan wanita mengandung, namun mendapatkan perkhidmatan keguguran yang selamat masih menjadi cabaran bagi kebanyakan wanita di Malaysia. 

Hannah (nama samaran), wanita bujang yang kini berusia 25 tahun, berkongsi pengalaman beliau mendapatkan perkhidmatan pengguguran di Malaysia semasa pandemik Covid-19.

Beliau berusia 23 tahun apabila mendapat tahu tentang kehamilannya. Pada ketika itu, dia baru mula bekerja selepas menamatkan pengajiannya di universiti. 

Hannah merupakan seorang yang aktif secara seksual dan menggunakan kaedah tradisional untuk merancang kehamilan dengan memantau kitaran haidnya.

Dia mendapati haidnya tiba lewat pada bulan itu dan dia membuat keputusan untuk mengambil ujian kehamilan. Ujian itu menunjukkan keputusan positif. 

Belum Bersedia Untuk Mempunyai Anak

“Masa itu perasaan saya bercampur baur, nak kata sedih, ya. Nak kata happy pun ya juga.

“Selepas berfikir selama tiga hingga empat minggu, kami (Hannah dan pasangan) memutuskan untuk menamatkan kehamilan ini dan pergi ke klinik.”

Hannah.

“Kami belum bersedia untuk mempunyai anak ketika itu.”

Walau bagaimanapun, Hannah menghadapi cabaran untuk mengakses perkhidmatan pengguguran.

Hannah mengunjungi sebuah klinik swasta  berdekatan rumahnya untuk melakukan imbasan ultrasound dan pengguguran, tetapi klinik itu tidak menyediakan perkhidmatan tersebut, dan merujuknya ke sebuah klinik swasta lain yang terletak sekitar 30 hingga 40 minit dari rumahnya. 

Walaupun mengalami kelewatan dalam mendapatkan akses ke perkhidmatan pengguguran, dia akhirnya menjalani prosedur pengguguran yang selamat pada minggu ke-14 kehamilannya.

Hannah mendapat sokongan daripada pasangan dan kawan rapatnya, yang memahami dan menyokong keputusannya untuk menggugurkan kandungannya.

Meskipun demikian, Hannah menekankan bahawa pada akhirnya, keputusan itu terletak pada dirinya sendiri untuk membuat pilihan. 

Beliau menyatakan bahawa pentingnya bagi wanita untuk dilengkapi dengan pengetahuan dan kesedaran tentang pilihan yang ada mengenai kehamilan agar mereka dapat membuat keputusan yang terbaik mengenai tubuh mereka sendiri.

Stigma Dari Masyarakat, Maklumat Yang Salah Menghalang Wanita

Pengalaman Hannah menunjukkan keperluan untuk menyediakan perkhidmatan keguguran yang selamat dan mudah diakses di Malaysia.

Walaupun pengguguran dibenarkan dalam keadaan tertentu, kebanyakan wanita di Malaysia menghadapi halangan dalam mengakses perkhidmatan ini. 

Menurut Hannah, kos yang dikenakan untuk prosedur pengguguran adalah sekitar RM2,500. Ini boleh dianggap satu jumlah yang agak mahal dan tidak semua wanita mampu untuk membayar. 

“Saya dan pasangan saya mempunyai simpanan kewangan ketika itu. Kami gunakan duit simpanan kami untuk membayar kos prosedur tersebut.”

Di Malaysia, akses kepada perkhidmatan pengguguran tidak bergantung kepada status perkahwinan.

Walau bagaimanapun, stigma masyarakat dan kekurangan maklumat yang  tepat sering menjadi penghalang utama bagi wanita untuk mendapatkan perkhidmatan yang mereka perlukan. 

Hannah berkata, “Ia (prosedur pengguguran) harus tersedia dan boleh diakses walau apa pun status perkahwinan seseorang.”

“Sesetengah daripada mereka mungkin tidak bersedia untuk hamil atau telah memutuskan untuk tidak mempunyai anak buat masa ini, namun pilihan untuk menggugurkan atau meneruskan kehamilan perlu dibuat oleh wanita tersebut.” 

Hannah.

Topik Yang Tabu Ini Mesti Dibincangkan Secara Terbuka

Walaupun topik ini dianggap sebagai tabu dalam masyarakat Malaysia, adalah penting untuk membincangkan secara terbuka mengenai kontraseptif, kehamilan dan pengguguran.

Hanya melalui kesedaran yang tinggi dan pendidikan yang tepat mengenai hal-hal ini, wanita dapat membuat keputusan termaklum tentang badan mereka dan mengakses penjagaan yang mereka perlukan.

“Selepas prosedur pengguguran, saya berasa sedih sebenarnya. Pasti ada yang berbeza jika saya pilih untuk teruskan kehamilan ini,” Hannah memberitahu Ova.

“Tetapi pada masa yang sama, saya cuba rasionalkan diri sendiri, dan berfikir lebih baik untuk saya menggugurkan kandungan sekarang untuk mengelakkan lebih banyak hiccups, atau masalah akan datang jika saya meneruskan kehamilan.”

Hannah.

Di sebalik cabaran yang dihadapinya, Hannah bersyukur kerana mempunyai pilihan untuk membuat keputusan untuk dirinya sendiri. Beliau menekankan kepentingan akses kepada perkhidmatan pengguguran yang selamat dan bermaruah untuk semua wanita, tanpa mengira keadaan mereka.

Perkhidmatan Pengguguran Yang Selamat, Mudah Diakses Memastikan Kesihatan Wanita

Pengguguran ialah intervensi kesihatan yang selamat apabila dilakukan menggunakan kaedah yang disyorkan dan oleh seseorang yang mempunyai kemahiran yang diperlukan.

Kajian menunjukkan bahawa mengehadkan akses kepada perkhidmatan pengguguran tidak mengurangkan bilangan pengguguran, tetapi ia meningkatkan kadar pengguguran yang tidak selamat. 

Oleh itu, adalah penting bagi Malaysia untuk mengutamakan perkhidmatan pengguguran yang selamat dan mudah diakses untuk memastikan kesihatan dan kesejahteraan wanita.

“Saya dengan pasangan memang nekad bahawa kami ingin mempunyai anak pada masa hadapan tetapi bukan dalam masa terdekat dan kami tidak boleh mengambil risiko seperti apa yang telah terjadi.”

Hannah.

“Saya kini mengambil pil perancang. Nasib saya baik, pil ini tidak memberikan banyak kesan sampingan yang buruk kepada badan saya. Satu hari nanti, saya ingin beralih kepada Implanon apabila saya mempunyai wang yang mencukupi untuk berbuat demikian.”

Kesimpulannya, pengalaman Hannah membuktikan keperluan untuk meningkatkan akses kepada perkhidmatan pengguguran yang selamat di Malaysia. 

Masyarakat seharusnya menerima dan membincangkan secara terbuka pendidikan seks dan kontraseptif untuk memperkasakan wanita membuat keputusan termaklum mengenai tubuh mereka. 

Pengguguran adalah hak asasi manusia, dan wanita mesti diberi kuasa secara sah dan praktikal untuk membuat keputusan mereka sendiri.

This article, written by Nuraini Rudi, was produced in collaboration with the Canada Fund for Local Initiatives.

You May Also Like

World

Schools are supposed to prepare the next generation, but more young people feel like it's not for them. A simple question can help turn...

World

There are risks with making cohabitation illegal, so striking a balance is essential.

World

An Indonesian Supreme Court decision has made it harder for interfaith couples to have their marriages recognised.